Rabu, 29 April 2009

TINGGAL KENANGAN...keadaan Rh Panjang Chabu Bakom, Sungai Liam yang musnah diranap api pada petang tadi.

Oleh : Adum Liu
29 APRIL 2009

Rh Panjang Chabu Sungai Liam Diranap Api

UTUSAN SUBIS (BAKONG - 29/4/2009) - Hanya tinggal sebulan lagi untuk sambutan Hari Gawai penghuni Rh. Chabu Bakom di Lepong Ajai, Sungai Liam (Daerah Baram) juga menggalami nasib malang serupa dengan penduduk Rh. Banyang ak Ngalai (Rh Sengkabang – Ulu Sibuti) dalam kebakaran yang berlaku pada tahun 2008 lepas.

Rh Chabu yang mempunyai kira-kira 600 penghuninya tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak begitu kuat dan cepat untuk meranap rumah panjang mereka.

Nasib mereka yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah panjang mereka musnah dijilat api kira-kira jam 2.30 petang tadi kini hanya menjadi satu kenangan pahit mereka untuk selama-lamanya.

Ketika tinjauan Utusan Subis di tempat kejadian jam 3.45 petang bahawa keadaan api telah padam dan hanya tinggal tiang-tiang sahaja dan kelihatan ramai warga emas menangis kesedihan melihat banyak harta benda mereka habis musnah.

Pihak Bomba tidak sempat untuk menyelamat rumah panjang berkenaan kerana jarak yang jauh kira-kira 40 kilometer dari balai bomba Miri yang memerlu lebih setengah jam untuk sampai ke tempat kejadian itu.

Pihak bomba turut mendapat bantuan daripada bomba sukarelawan dari Batu Niah dan Bekenu.

Antara barang-barang yang turut didapati musnah ialah beratusan guni padi, senapang patah, dokumen penting dan beberapa buah kenderaan juga musnah.

Suasana di tempat kejadian...Sylvester Entri (gambar bawah) ketika menemui penghuni Rh Panjang Chabu yang ditimpa kesusahan pada petang tadi.

Jumlah kerugian akibat kebakaran ini ialah dianggarkan melebihi RM3 juta termasuk geran program kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM48 ribu yang diterima oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Turut hadir untuk memberi bantuan kepada penduduk rumah panjang ialah ADUN Marudi (Menteri Muda Bekalan Air) Sylvester Enteri Muran dengan menghulur bantuan kewangan berjumlah RM200 untuk setiap pintu.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Jabatan Penyelamat dan Pemadam Kebakaran Miri. Tiada sebarang laporan kehilangan nyawa.