Rabu, 21 Mac 2012

7 perompak berjaya ditahan polis

SEKUMPULAN tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kes rompakan bersenjata bersama wang tunai RM52 ribu berjaya ditahan Polis Bakong di sebuah ladang kelapa sawit Lapok/Tinjar sekitar jam 8.30 malam tadi.

Menurut sumber, mangsa, 61, yang juga Pengurus Ladang Kelapa Sawit di syarikat terbabit tiba-tiba didatangi oleh tiga hingga empat suspek sebelum diacukan senapang patah dan parang panjang supaya membuka peti besi berisi wang.

“Dalam keadaan ketakutan dan keselamatan di ri mangsa hanya mampu menuruti arahan suspek sahaja lalu membuka peti besi berisi wang, sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke udara. Ketika kejadian berlaku tiada pekerja lain di pejabat berkenaan.

“Penduduk di rumah panjang berdekatan pejabat terbabit yang curiga selepas mendengar beberapa das tembakan suspek, terus membuat panggilan kepada polis bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan, Abu Bakar Mokhtar, ketika dihubungi hari ini berkata, lima suspek pertama berjaya ditahan dua jam selepas pihak polis menerima laporan kejadian itu melalui kerja sekatan jalan raya yang dibuat di Jalan Miri Bintulu.

Katanya, penangkapan lima suspek terbabit membawa penahanan dua lagi rakan subahat suspek kira-kira jam 3 pagi semalam, selepas pihak polis berjaya mengesan kereta yang digunakan dalam rompakan itu, ketika dalam perjalanan ke Miri.

Kesemua suspek berusia 22 hingga 59 tahun itu berjaya dikesan berdasarkan tiga buah kereta yang digunakan termasuk sebuah Proton Wira, Honda Civic dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Hilux selain maklumat awal diterima daripada pengadu mengenai kejadian itu.

Juga turut dirampas ialah kesemua senjata yang digunakan rompakkan termasuk senapang patah dan dua bilah parang panjang ditemui dalam dua buah kereta terbabit, dirampas untuk dijadikan barang kes, tambahnya.

Kesemua suspek terbabit kini ditahan dan akan dikenakan tahanan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat. Tiada mangsa yang cedera dalam kejadian ini.