Rabu, 24 Julai 2013



Suara rakyat Parlimen Sibuti
Keluarga daif nanti bantuan rumah



BANTULAH KAMI…. Serani (berdiri) dan ibunya Simbah ketika dirakam di rumah usang mereka yang semakin hari semakin teruk dan kurang selesa untuk didiami ketika hujan lebat.  
 
SIBUTI, 24/7/2013 - Nenek tua, emak tunggal dan cucu tunggal dari sebuah keluarga daif serba kekurangan di Parlimen P.218 Sibuti dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN Lambir) ternanti-nanti jawaban permohonan bantuan rumah rakyat (PPRT) daripada kerajaan bersama wakil-wakil rakyatnya.

Serani Bunya seorang ibu tunggal berusia  44 tahun dari Rumah Duat Sungai Kelitang ketika ditemui di rumah usangnya pagi tadi berkata, permohonan itu telah lama dihantar kepada pihak berwajib dan sangat berharap ia mendapat pertimbangan daripada kerajaan.

Katanya, kami sekeluarga sangat perlu sebuah rumah lebih selesa untuk diduduki, rumah yang ada sekarang sangat uzur, bumbung rumah banyak telah berlubang dan bila hujan memang basah di bilik kami.

“Saya juga sangat berharap agar wakil rakyat kami di Parlimen dan DUN dapat membantu untuk membantu pertimbangan permohonan itu, lagi pun saya sendiri terdengar permohonan tersebut telah mendapat kelulusan daripada kerajaan.

“Tapak rumah juga telah tersedia untuk tujuan pembinaan rumah bantuan rakyat,” jelasnya yang penuh harapan agar pihak kerajaan tampil melihat kedudukan rumah usang mereka.

Tambahnya, sara hidup mereka sekeluarga tanpa suaminya yang telah lima tahun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ialah hanya bergantung kepada hasil penanaman kelapa sawit yang tidak besar hanya cukup makan sahaja.

“Hasil kelapa sawit dalam sebulan adalah sekitar RM600, sejumlah itu memang tidak cukup untuk sebulan untuk kami sekeluarga.

“Selain hasil kelapa sawit, turut membuat sedikit kraf tangan (anyaman manik) dan mengambil kerja sambilan dengan orang rumah panjang untuk menampung pembelian bekalan keperluan di dapur,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Simbah Suran (ibu Sarina), 85 tahun turut ditemui berkata, sangat berharap kerajaan peka dengan kesulitan yang dialami mereka yang banyak kekurangan dalam menjalani kehidupan di rumah panjanag.

“Saya sangat kasihan melihat cucu saya bernama Steven Etin, 16 tahun menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri banyak kekurangan namun dia tetap berusaha untuk mendapat pelajaran demi masa depan dia. Berharap juga pihak kerajaan memberi perhatian bantuan kepada Steven supaya dia dapat bersungguh-sungguh belajar demi mengubah masa depan kami sekeluarga,” jelasnya.

Tambahnya, ibu Steven Etin kini juga kurang berupaya menjalankan tugas untuk mencari rezeki untuk kami kerana kaki kirinya yang telah patah akibat kemalangan jalan raya bersama suaminya lima tahun lepas.


Sebelum kejadian kemalangan maut itu, kehidupan kami tidaklah seteruk ini kerana sebelum kemalangan itu suami Serani adalah ketua keluarga dan orang yang mencari rezeki harian kami sekeluarga, jelasnya sambil menitis air mata mengenang nasib mereka.

Tinjauan  di rumah usang Serani Bunya dan Simbah Suran mendapati banyak kekurangan dari segi kewangan, kediaman dan permakanan (bahan dapur) adalah perlu diberperhatian yang sewajarnya daripada pihak kerajaan.

Justeru jangan dilupakan tentang bantuan pembelajaran kepada Steven Etin yang masih bersekolah di SMKLB kerana ia merupakan harapan keluarga serba kekurangan itu untuk mencorak kehidupan baharu mereka pada suatu masa kelak.


KASIHAN… Serani dan ibunya ketika ditemui di dalam rumah usang yang penuh serarak dengan barang-barang mereka.