Isnin, 18 Januari 2010


ABANG JOHARI: SARAWAK AKAN PUNYAI TAXI AIR 2010


UTUSAN SIBUTI (18/1/2010) - Sarawak akan mempunyai Taxi Air pertengahan 2010 dan satu jawatankuasa telah ditubuhkan yang dipengerusikan Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar yang akan dianggotai Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS), Jabatan Marin, IDEAS di bawah Institut Reka Bentuk dan Jawatankuasa Pelancongan Satok.


Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata demikian pada majlis penyerahan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Hunai baru-baru ini.


“Jawatankuasa ini nanti akan memantau dan melihat kaedah yang terbaik bagi memperkenalkan teksi air”.


“Ia juga memberi satu lagi pilihan pengangkutan kepada orang awam khususnya kepada masyarakat di bandar raya Kuching dan sebagai produk pelancongan yang boleh dijadikan satu tarikan dalam industri pelancongan,” jelasnya.


Katanya, ini merupakan satu daripada pendekatan untuk memberi khidmat pengangkutan awam selain jalan darat dan pada masa yang sama mengurangkan kesesakan lalu lintas.


Pembinaan jeti di BCCK kini sedang dijalankan dan selebihnya kini masih dalam pembinaan yang dijangka akan siap dalam masa terdekat, tambahnya.


Turut hadir sama dua Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Dr Soon Choon Teck dan Abdul Wahab Aziz, Ahli Parlimen P.218 Sibuti Ahmad Lai Bujang, ADUN Lambir Aidan Wing dan Rosey Yunus (Bekenu).