Jumaat, 26 Julai 2013

Kes jalan raya
WASPADA - Penunggu mata 1 dan 3 di jalan ladang


MUSNAH….. Sebuah pancuan empat roda milik penduduk kampung Suai yang mengalami kerosakkan tayarnya akibat pemasangan besi tajam di jalan utama di sebuah ladang kelapa sawit pada petang tadi. 
 
BATU NIAH, 26/7/2013 - Penduduk dari beberapa buah kampung di kawasan Suai gelisah dengan keadaan ada ‘penunggu’ besi tajam merosakkan tayar kenderaan di jalan utama dekat sebuah ladang di sini, kata penduduk yang membuat laporan polis di sini petang tadi.

Pengguna jalan yang enggan nama disiarkan merupakan seorang pekebun kecil kelapa sawit di Suai ketika ditemui berkata, keadaan tersebut sangat ditakuti dan telah timbul gelisah terhadap penduduk kampung dan rumah-rumah panjang.

Pada laporan polis dibuat penduduk kampung telah menyebut bahawa terdapat beberapa buah kereta kecil dan pancuan empat roda (4WD)mengalami kerosakkan tayar akibat pemasangan besi tajam buatan individu yang tidak dikatahui di jalan utama itu.

Beliau yang mengalami kerosakkan beberapa biji tayar 4WD terpaksa menanggung kerugian hampir RM2,000 untuk mendapatkan yang baru, kejadian sangat dikesali.

Sementara itu, orang ramai yang menggunakan jalan tersebut dinasihati supaya dalam keadaan berjaga-jaga bagi menggelak sebarang kejadian kemalangan. Kejadian ini telah berlaku sejak kelmarin dan ia masih dalam siasatan pihak polis.

Khamis, 25 Julai 2013

Keluarga daif perlu diberi perhatian
Nenek : Cucu hanya dibekalkan 
RM15.00 untuk dua minggu


RAKAMAN BERITA…. Media yang menemui Simbah (nenek) sedang membuat anyaman ‘ranjuk’ diperbuat daripada rotan sambil diperhatikan oleh Serani di rumah mereka pagi tadi.

Steven Etin, 16 tahun, seorang pelajar asrama Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri hanya dibekalkan RM15.00 untuk perbelanjaan sekolahnya dalam masa dua minggu sekali.

Belanja RM15.00 itu adalah termasuk tambang RM4.00 dari rumah ke sekolah dan RM4.00 lagi untuk Steven balik ke rumah, maka perbelanjaan sebenarnya hanya RM7.00 dalam masa dua minggu, kata neneknya Simbah Suran 85 tahun.

Rahsia kesulitan keluarga daif itu terbongkar apabila lawatan kerja penulis dan krew Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri ke rumah Serani Bunya (44 tahun) yang bersua dan berbual dengan nenek (Simbah) di rumah usangnya berhampiran Rumah Panjang Tr. Jeli Sungai Merah Sibuti pada pagi tadi.

Katanya, kutipan duit perbelanjaan cucunya itu adalah hasil kemahiran mengurut secara tradisional kaum Iban, dengan mempunyai kemahiran sedikit itu maka tidak disiakan sebagai punca pencarian rezeki tambahan.

Simbah (nenek) yang mesra itu telah menceritakan segalanya dengan perasaan sedih terus memohon agar keluarganya yang banyak kekurangan terpaksa dialami akan mendapat bantuan daripada kerajaan.

“Saya yang mahir mengurut tradisional sejak berpuluhan tahun bagaimana pun kini terpaksa menggunakan kemahiran itu untuk mencari rezeki kegunaan perbelanjaan persekolahan cucu saya bernama Steven Etin.

“Upaya yang tidak seberapa itu dalam dua minggu tidak sampai RM20.00 dan saya tidak meminta yuran daripada mereka, berapa mereka bagi saya tetap terima walau pun 50 sen, RM1.00 dan kadang-kadang ada juga menerima RM10.00 ini kerana saya ikhlas membantu orang yang susah,” jelas.

MESRA... Nenek bersama rakannya (ibu penulis) merupakan ahli Kelab Barisan Nasional Sarawak (Bekenu) yang sering berkunjung dan membantunya ketika dalam kesulitan.
 
Selain itu, nenek tersebut juga mahir membuat anyaman bakul rotan dan bemban seperti ‘ranjuk’ dan ‘emmak’ untuk dijual sebagai perbelanjaan dapur.

“Apa yang saya harapkan ialah agar kerajaan memberi bantuan keperluan kepada cucu saya Steven itu, dia merupakan seorang pelajar hanya sederhana dan dia adalah harapan kami sekeluarga untuk membawa perubahan pada masa akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, Serani iaitu ibu kepada Steven kini sudah tidak begitu maya lagi untuk membuat kerja keras setelah mengalami kemalangan dan patah tulang paha kanan yang kini mengunakan tulang besi di dalam paha untuk membolehkan dia berjalan.

Akibat kemalangan jalan raya tiga tahun itu juga telah menyebabkan kematian bapa Steven. Keluarga banyak kekurangan ini terdiri daripada empat ahli keluarga iaitu Simbah (nenek yang rabun mata), Serani (ibu tunggal patah paha), Beruka (orang kurang upaya) dan Steven masih dibangku sekolah.


DEMI CUCU... Membuat bakul rotan salah satu daripada pencarian rezeki untuk perbelanjaan persekolah cucunya.
 
Sementara itu, Serani dalam keadaan menangis ditemui berkata, sara hidup keluarganya hanya bergantung kepada hasil penanaman kelapa sawit yang tidak besar hanya cukup makan sahaja.

“Hasil kelapa sawit dalam sebulan adalah sekitar RM600, sejumlah itu memang tidak cukup untuk sebulan untuk kami sekeluarga.

“Selain dari hasil kelapa sawit, turut membuat sedikit kraf tangan (anyaman manik) dan mengambil kerja sambilan dengan orang rumah panjang untuk menampung pembelian bekalan keperluan di dapur,” jelasnya lagi.

Justeru itu, kepada pihak yang berwajib dalam kemasyarakatan agar turun untuk menyaksikan dan hulurkan bantuan kepada keluarga yang penuh kesulitan itu.

Kelab Barisan Nasional Sarawak
Peter Nansian : 
Terus bersama pemimpin sedia ada 

BERSATU…. Datuk Peter Nansian, Datuk Sylvester Entri dan Rosey Yunus menurunkan tandatangan di plak Pelancaran Kelan Barisan Nasional Sarawak (KBNS) Cawangan Bakas di Rumah Panjang Lingu pada baru-baru ini.  
 
BEKENU, 25/7/2013 - Teruskan sokongan dan kerjasama kepada pemimpin yang sedia ada untuk mencapai pembangunan dan kemajuan di kawasan luar bandar, kata Menteri Muda Pembangunan Komuniti dan Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie.

Berucap di Majlis Perasmian Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Lingu Sungai Sibuti baru-baru ini beliau berkata, rakyat harus memberi kerjasama kepada pemimpin yang benar sudah nyata terlihat membawa pembangunan kepada rakyat sendiri.

Sehubungan itu, adanya kerjasama dan sokongan rakyat sudah pasti penyaluran pembangunan dan kemudahan akan senang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Oleh demikian, rakyat sangat dinasihati supaya sentiasa mendekati wakil rakyat dan pemimpin di kawasan masing-masing, contohnya di Bekenu ini ialah wakil rakyat (DUN) Rosey Yunus dan dekatilah beliau kerana beliau pemimpin membawa pembangunan di sini, jelasnya.

TAHNIAH.... Ratus-ratusan ahli baharu Kelab Barisan Nasional Sarawak (Bekenu) terus bersama memberi sokongan dan kerjasama untuk pembangunan dan kemajuan kawasan Bekenu.

Sementara itu, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) dan Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran berkata, masyarakat luar bandar sangat dialu-alukan menyertai apa sahaja persatuan/kelab untuk menjalankan aktiviti social yang sihat boleh membawa pembangunan di kawasan masing-masing.

Penyertaan pada setiap persatuan/kelab sudah tentu ada kebaikkan jika para ahlinya tahu menggunanya dengan betul dan tulus pada sesebuah persatuan/kelab, jelasnya.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga, Rosey Yunus ketika dihubungi berkata, majlis tersebut sangat baik kerana secara demikian kita dapat bersatu padu mencapai pembangunan terhadap sesebuah keluarga dan demi masa depan anak-anak di kawasan luar bandar.

Sementara itu, diucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada masyarakat rumah panjang dan kampung di kawasan Bekenu telah memberi kerjasama dan sokongan kepada pihak kerajaan yang akhirnya rakyat sendiri telah mencapai pembangunan dan kemajuan di kawasan ini, tambahnya.

Pada majlis itu, Rumah Panjang Tr. Lingu Jilan telah mendapat sumbangan melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) daripada ketiga-tiga Menteri Muda yang hadir dengan jumlah RM24 ribu yang masing-masing disalurkan kepada JKKK Tr. Lingu (RM5,000), Biro Wanita (RM5,000), Belia Kelab (RM5,000) dan Projek Tandas Rumah Panjang (RM9,000).

Pada majlis itu turut diadakan Majlis Pelancaran Kela Barisan Nasional Sarawak (KBNS) Cawangan Bakas yang dirasmikan oleh Datuk Peter Nansian, Datuk Sylvester Entri dan Rosey Yunus.

Turut hadir pada majlis ini ialah Pemanca Wilson Siang Lim, para penghulu, tuai-tuai rumah, ketua-ketua (Kampung) masyarakat Bekenu, KBNS Saeh/Niah, KBNS Sebatu, KBNS Kelulit, KBNS Bulau dan KBNS Marudi.

Rabu, 24 Julai 2013



Suara rakyat Parlimen Sibuti
Keluarga daif nanti bantuan rumah



BANTULAH KAMI…. Serani (berdiri) dan ibunya Simbah ketika dirakam di rumah usang mereka yang semakin hari semakin teruk dan kurang selesa untuk didiami ketika hujan lebat.  
 
SIBUTI, 24/7/2013 - Nenek tua, emak tunggal dan cucu tunggal dari sebuah keluarga daif serba kekurangan di Parlimen P.218 Sibuti dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN Lambir) ternanti-nanti jawaban permohonan bantuan rumah rakyat (PPRT) daripada kerajaan bersama wakil-wakil rakyatnya.

Serani Bunya seorang ibu tunggal berusia  44 tahun dari Rumah Duat Sungai Kelitang ketika ditemui di rumah usangnya pagi tadi berkata, permohonan itu telah lama dihantar kepada pihak berwajib dan sangat berharap ia mendapat pertimbangan daripada kerajaan.

Katanya, kami sekeluarga sangat perlu sebuah rumah lebih selesa untuk diduduki, rumah yang ada sekarang sangat uzur, bumbung rumah banyak telah berlubang dan bila hujan memang basah di bilik kami.

“Saya juga sangat berharap agar wakil rakyat kami di Parlimen dan DUN dapat membantu untuk membantu pertimbangan permohonan itu, lagi pun saya sendiri terdengar permohonan tersebut telah mendapat kelulusan daripada kerajaan.

“Tapak rumah juga telah tersedia untuk tujuan pembinaan rumah bantuan rakyat,” jelasnya yang penuh harapan agar pihak kerajaan tampil melihat kedudukan rumah usang mereka.

Tambahnya, sara hidup mereka sekeluarga tanpa suaminya yang telah lima tahun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ialah hanya bergantung kepada hasil penanaman kelapa sawit yang tidak besar hanya cukup makan sahaja.

“Hasil kelapa sawit dalam sebulan adalah sekitar RM600, sejumlah itu memang tidak cukup untuk sebulan untuk kami sekeluarga.

“Selain hasil kelapa sawit, turut membuat sedikit kraf tangan (anyaman manik) dan mengambil kerja sambilan dengan orang rumah panjang untuk menampung pembelian bekalan keperluan di dapur,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Simbah Suran (ibu Sarina), 85 tahun turut ditemui berkata, sangat berharap kerajaan peka dengan kesulitan yang dialami mereka yang banyak kekurangan dalam menjalani kehidupan di rumah panjanag.

“Saya sangat kasihan melihat cucu saya bernama Steven Etin, 16 tahun menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri banyak kekurangan namun dia tetap berusaha untuk mendapat pelajaran demi masa depan dia. Berharap juga pihak kerajaan memberi perhatian bantuan kepada Steven supaya dia dapat bersungguh-sungguh belajar demi mengubah masa depan kami sekeluarga,” jelasnya.

Tambahnya, ibu Steven Etin kini juga kurang berupaya menjalankan tugas untuk mencari rezeki untuk kami kerana kaki kirinya yang telah patah akibat kemalangan jalan raya bersama suaminya lima tahun lepas.


Sebelum kejadian kemalangan maut itu, kehidupan kami tidaklah seteruk ini kerana sebelum kemalangan itu suami Serani adalah ketua keluarga dan orang yang mencari rezeki harian kami sekeluarga, jelasnya sambil menitis air mata mengenang nasib mereka.

Tinjauan  di rumah usang Serani Bunya dan Simbah Suran mendapati banyak kekurangan dari segi kewangan, kediaman dan permakanan (bahan dapur) adalah perlu diberperhatian yang sewajarnya daripada pihak kerajaan.

Justeru jangan dilupakan tentang bantuan pembelajaran kepada Steven Etin yang masih bersekolah di SMKLB kerana ia merupakan harapan keluarga serba kekurangan itu untuk mencorak kehidupan baharu mereka pada suatu masa kelak.


KASIHAN… Serani dan ibunya ketika ditemui di dalam rumah usang yang penuh serarak dengan barang-barang mereka.