Jumaat, 2 November 2012

NASIB BAIK… Rosey Yunus yang dibawa oleh Ngu Jun Hiong untuk melihat keadaan tanah runtuh yang mengena pada dinding rumah mereka yang berlaku pada awal pagi tadi.

Suami isteri terselamat dari tanah runtuh

BATU NIAH (1/11/2012) Sepasang suami isteri terjaga dari tidur akibat gegaran kuat pada dinding rumah mereka pada awal pagi tadi. Mangsa suami isteri Lee Lik Kiong, 56 dan Ngu Jun Hiong, 52 (isteri) yang ditemui di rumah mereka di Jalan Sim Kheng Huong di sini berkata, kejadian tanah runtuh itu berlaku pada jam 3 pagi tadi.

Katanya, kejadian ini disedari dengan bunyi  tanah runtuh yang kuat dan mengena pada dinding rumah papan separuh usang.

“Saya dan isteri terkejut besar mendengar bunyi kuat lalu hingga terbangun dan bergegas keluar untuk mengetahui kejadian yang sebenarnya. Bila kami dua keluar dari bilik tidur, kami terperanjat melihat lantai ruang tamu rumah telah dipenuhi lumpur tanah yang runtuh itu, kami terus berlari keluar untuk mengelak kejadian buruk berlaku terhadap kami berdua,” jelasnya.

Kejadian ini telah dilapor di Balai Polis Bat Niah pada pagi tadi. Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus turut datang mengadakan lawatan terhadap pasangan suami isteri yang menghadapi masalah tanpa diduga itu.

Rosey Yunus yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (N.61 Bekenu) turut menasihati supaya masyarakat yang tinggal di kawasan bukit sentiasa berjaga-jaga dan ketahui dengan keadaan persekeliling rumah terutamanya ketika hujan lebat berlaku.