Ahad, 17 Januari 2010

MESRA…Datuk Amar Abang Johari yang turut tumpang gembira melihat ramai rakyat kawasan Lambir yang mendapat RMR daripada bantuan kerajaan Barisan Nasional.

Abang Johari: Pemilik RMR dinasihati bayar pinjaman perumahan bulanan


UTUSAN SIBUTI (17/1/2010) - Pemilik Rumah Mesra Rakyat (RMR) negeri ini dihasihati supaya terus membuat bayaran yuran pinjaman perumahan bulanan bagi membolehkan kerajaan merancakkan lagi usaha membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.


Demikian nasihat Menteri Perumahan Dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci RMR Skim Individu di Kampung Hunai di sini kemarin.


“Saya sangat berterima kasih kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan kerajaan mensasarkan pembinaan sebanyak 50,000 unit RMR dan Rumah Mampu Milik (RMM) dengan 20,000 daripada jumlah itu akan dibangunkan oleh kerajaan”.


“Kita juga memperkenalkan program seperti ini untuk membina rumah panjang baru di Daerah Bakong, jika ini mendapat sambutan kita juga akan teruskan program ini ke kawasan lain di Sarawak”, jelasnya.

TANIAH…Datuk Amar Abang Johari (tengah) memotong reben di RMR milik Sidiah Sapar sambil diperhatikan oleh Aidan Wing (3 kiri).

Beliau yang juga merangkap Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (SABERKAS) berkata, jika rakyat membeli sendiri rumah di bandar maka sudah tentu dikenakan bayaran pendahuluan yang tinggi dan bayaran bulanan rumah mereka pula pasti mencecah RM500 hingga RM600 sebulan.


Tetapi rumah mesra rakyat, tidak ada bayaran pendahuluan kerana kerajaan yang membayar untuk rakyat dan bayaran bulanannya hanya sekitar RM100 ke RM150, hanya kerajaan kita yang berbuat demikian di dunia ini, tambahnya.


Ahli Dewan Undangan Negeri N.62 Lambir Aidan Wing yang terdahulu berucap turut berterima kasih kementerian perumahan kerana telah memberi banyak peruntukkan di kawasan Lambir dan Parlimen P.218 Sibuti. Aidan turut menasihati agar rakyat kawasannya tidak ketinggalan merebut peluang ini kerana selagi program RMR ini masih berjalan lancar.


Turut hadir pada majlis ini ialah kedua-dua Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar Abdul Wahab Azizi dan Datuk Dr Soon Choon Teck, Pengerusi Daya Perumahan Sdn Bhd Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen P.218 Sibuti Ahmad Lai Bujang, ADUN Bekenu Rosey Yunus, Pengarah Urusan SPNB Dr Haji Kamarul Rashdan Haji Salleh dan pegawai-pegawai kerajaan tempatan.


*************************************************************************************


N.61 Lambir akan punyai Pusat Maklumat Bakam


UTUSAN SIBUTI (17/1/2010) - Parlimen Sibuti telah mendapat peruntukkan sejumlah RM50,000 daripada Jabatan Perikanan untuk membina Pusat Maklumat Bakam (PMB) dalam tempoh terdekat ini.


Demikian kata ADUN Lambir, Aidan Wing ketika ditemui singkat pada Majlis Penyerahan Kunci RMR Skim Individu di Kampung Hunai di sini kemarin.


Tapak lokasi PMB ini ialah di jeti nelayan bakan yang sedia ada sekrang dan ia sebagai memudahkan pelancong dalam dan luar negara mendapat maklumat terperinci berkaitan sektor pelancongan kawasan Parlimen P.218 Sibuti (N.62 Lambir dan N.61 Bekenu).


Di samping itu, kita juga akan mendiri beberapa buah gerai untuk menjual barangan cenderahati yang dihasilkan oleh penduduk tempatan serta bermotifkan kraftangan pelbagai kaum di negeri kita, jelasnya.


Katanya, dengan adanya PMB nanti bahawa pelancong boleh menyewa bot serta beberapa kelengkpan lain untuk sukan marin seperti menyelam skuba dan melihat batu karang.


Secara langsung ia nanti akan mampu meningkatkan lagi sektor pelancongan di kawasan Lambir dan meningkat sumber pendapatan pendudk di kawasan tersebut.