Khamis, 21 April 2011

Pembangkang keliru masyarakat Cina


UTUSAN SIBUTI – Parti pembangkang DAP hanya mahu mengelirukan masyarakat Cina di Sarawak mengenai isu yang sepatutnya diselesaikan selepas keadaan kembali tenang, kata Datuk Lee Kim Shin.


Katanya, Ini bukan masanya untuk menambahkan kekeliruan, yang hanya akan membawa kepada keputusan tidak rasional.

“Perkara ini patut diputuskan selepas semua orang telah bertenang”, jelasnya.


Beliau mengulas laporan media pada Rabu, yang memetik Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebagai berkata pelantikan menteri daripada SUPP tidak membawa sebarang perbezaan bagi masyarakat Cina di Sarawak.

Ini kerana kata Chong, kegagalan SUPP menyelesaikan isu membabitkan kaum itu sejak 30 tahun lepas merupakan sebab penduduk di bandar tidak menyokong mereka pada pilihan raya negeri 6 hingga 16 April 2011 lepas.

Pilihan raya lepas, SUPP bertanding di 19 kawasan dewan undangan negeri (DUN) namun hanya menang di enam kawasan yang mana empat daripadanya diwakili calon bumiputera.

Prestasi buruk parti itu yang menyaksikan Presidennya Tan Sri Dr George Chan tewas di kerusi DUN Piasau membangkitkan persoalan mengenai keupayaan mereka mewakili kepentingan kaum Cina dalam kabinet negeri.

Lee yang merupakan seorang daripada dua calon Cina parti itu yang terselamat, hanya menang tipis dengan majoriti 58 undi mengatasi calon PKR Dr Michael Teo Yu Keng bagi mengekalkan kerusi DUN Senadin.

Seorang lagi wakil Cina SUPP ialah Timbalan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Wong Soon Koh yang mempertahankan kerusi DUN Bawang Assan dengan majoriti 1,808 undi mengatasi calon DAP Alice Lau Kiong Yieng.