Khamis, 29 Januari 2015

** BATU NIAH / 29/1/2015 **

Penduduk rumah panjang nyaris ditimbus tanah runtuh pada jam 2 pagi


BATU NIAH (Suai) - 15 pintu rumah dan penduduk Rumah Panjang Rh.Bakom Batu 74 Jalan Bintulu Miri nyaris ditimbus oleh tanah runtuh pada jam 2 pagi akibat hujan lebat pada malam semalam.

Seorang pesara dari Pejabat Daerah Sibu, Denis Collin (penghuni), 61, ketika ditemui hari ini berkata, gegaran kuat di bahagian belakang rumah menyebabkannya terjaga sebelum mendapati air sudah memasuki ruang tamu.
"Saya bergegas bangun dan membuat pemeriksaan sebelum turut terkejut mendapati tanah masuk ke bahagian dapur rumah menyebabkan saya menuju keluar beranda untuk menyelamatkan diri.

"Runtuhan itu mungkin disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan berlaku gelongsoran tanah sehingga menyebabkan bahagian dapur rumah dimasuki air dan tanah," katanya.


RUNTUH... Bahagian belakang Rumah Panjang Rh. Bakom yang terkena timbus tanah runtuh yang berlaku pada jam 2 pagi semalam. - Adum Liu

Kejadian ini menyebabkan kami semua terpaksa melakukan kerja pembersihan dan membuang tanah yang memasuki kediaman kami, terima kasih kepada pemilik sebuah syarikat ladang sawit berhampiran membantu mengalih tanah, tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang nenek, Surat Pengareng, 42, berkata, kejadian itu ingatkan sebuah mimpi selepas seluruh badan basah, rupanya rumah telah dimasuki air akibat runtuhan bukit di belakang rumah.

"Ketika kejadian berlaku, saya bersama suami dan seorang cucu lelaki berusia lebih setahun sedang tidur sebelum terjaga sebaik merasa seluruh badan basah.

"Mulanya saya seakan bermimpi namun sebaik melihat lantai rumah digenangi air menyebabkannya bergegas mengejutkan suami yang sedang tidur sebelum membawa cucu keluar ke ruai rumah untuk menyelamatkan diri," jelasnya.

BAHAYA... Denis Collin menunjuk bahagian dapur yang musnah akibat tanah runtuh sehingga air masuk dari dapur mereka. - Adum Liu


Tambahnya lagi, suasana tenang menjadi kelam-kabut apabila semua penduduk kampung terjaga setelah mendapati kediaman dimasuki air dan tanah.

Penduduk di sini sangat bersyukur kerana tiada sebarang kejadian buruk menimpa kami pada kejadian ini, katanya lagi.

Difahamkan bahawa kejadian jam 2 pagi itu hampir menyebabkan 30 penduduk membabitkan lapan daripada 15 pintu rumah panjang itu tertimbus apabila runtuhan bukit pada jarak hampir 30 meter di belakang rumah mengakibatkan sebahagian dapur dimasuki tanah.


Dinding dapur yang musnah akibat tanah runtuh sehingga air masuk dari dapur mereka. - Adum Liu


Selain itu, insiden sama pernah berlaku pada tiga tahun lalu apabila bukit terbabit runtuh dan bahagian dapur sebuah rumah panjang terbabit tertimbus tanah menyebabkan keluarga terjejas terpaksa menanggung banyak kerugian.