Khamis, 22 Mac 2012


TIKI : Terima G5 Tanpa Syarat

BEKAS Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang juga Ahli Parlimen Mas Gading hari ini mahu Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom tidak menetapkan sebarang syarat jika mahu kumpulan G5 kembali semula ke pangkuan parti itu.

Tegasnya, sekiranya SPDP mempunyai keikhlasan membuka pintu semula kepada G5 khususnya ke arah kebaikan dan perpaduan Barisan Nasional (BN) amnya, Presiden parti sewajarnya tidak berbuat demikian.


"Jika ada syarat dikenakan untuk penerimaan semula G5 dalam Parti SPDP maka kami G5 pun, boleh membuat syarat, iaitu mohon Presiden parti membuat kenyataan secara terbuka, menarik balik semua kenyataannya berkenaan pemecatan dan pelucutan jawatan G5 walau pun ianya agak sukar dibuat seperti itu.


"Tetapi jika kita memikirkan keutamaan dan kepentingan BN ianya bukanlah perkara yang sukar untuk dilakukan. Ini kerana sekiranya di antara kedua-dua belah pihak terus berkeras menjaga harga diri masing-masing maka perkara ini tidak akan mencapai jalan penyelasaiannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau yang pertama kalinya mengulas kenyataan daripada Mawan baru-baru ini turut menegaskan demi kebaikan bersama, Mawan diharapkan mengambil sikap neutral daripada meletakkan syarat kepada G5 untuk memohon semula keahlian mereka.

Katanya, selepas mendapat desakan daripada pucuk pimpinan tertinggi BN, pemimpin nombor satu parti itu harus melihat kepada jalan pendamaian yang terbaik kepada dua pihak.


"Sekiranya SPDP menetapkan syarat kepada kami (G5) untuk memohon semula ia seakan-akan

menyulitkan pengurusan proses penerimaan keahlian yang dijangka akan mengambil masa.

"Ini kerana kami mempercayai sekiranya G5 memohon semula menjadi ahli SPDP sudah pasti kami akan menjadi ahli biasa yang tidak berkuasa atas apa jua pengurusan dan pentadbiran SPDP," katanya.


Sementara itu, pada 10 Mac lalu, Mawan dipetik sebagai berkata SPDP bersedia membuka pintu dan berdamai dengan lima wakil rakyat, yang telah dipecat atau meninggalkan parti itu, demi kepentingan BN dan parti.


Mawan berkata, beliau bersetuju dengan hasrat Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud agar kelima-lima mereka kembali ke dalam parti, namun proses itu tidak harus mengetepikan syarat-syarat asas parti dan BN.


Pehin Sri Taib berkata, mereka tidak harus ditinggalkan bersendirian kerana mereka tetap setia kepada BN sekalipun tidak lagi menjadi anggota SPDP, yang merupakan parti komponen BN negeri.
Mengenai isu pemecatan ke atas G5 yang dilakukan tahun lalu, Dr Tiki menganggap proses pemecatan terhadap G5 boleh dianggap tidak sah kerana tidak mengikut prosedur dan peraturan yang sepatutnya.

Katanya, kumpulan G5 itu sangsi dengan keputusan yang telah diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Displin SPDP memandangkan ia diambil tanpa mengikut perlembagaan parti.


"Saya berkata demikian adalah disebabkan, surat pemberitahuan atau surat untuk proses tempoh masa rayuan kepada G5 diterima dari pihak berkenaan tidak dipatuhi oleh mereka sendiri.


"Apa tidaknya, surat daripada ahli jawatankuasa displin SPDP bertarikh 21 Nov 2011 dan diterima oleh Kumpulan G5 pada 22 Nov 2011. Apa yang peliknya pemecatan dan perlucutan jawatan G5 dibuat pada 25 Nov 2011," katanya.
Sambil menambah, isi kandungan surat pemberitahuan tunjuk sebab dan proses rayuan diberi tempoh selama 30 hari daripada tarikh surat berkenaan dikeluarkan iaitu 21 Nov 2011.

Oleh yang demikian ujarnya, kumpulan itu meragui dan sangsi dengan keadaan tersebut, seolah-olah ada pihak lain yang berkepentingan dan mempengaruhi keputusan yang dibuat terhadap G5.


"Persoalan di sini mengapa perkara ini terjadi di dalam pentadbiran dan pengurusan SPDP.

Sepatutnya walau apa pun terjadi dalam masa tempoh 30 hari yang diberikan untuk proses rayuan dan tindakan oleh G5 sepatutnya hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh ahli jawatankuasa displin.

"Mengapa tindakan dan keputusan tidak mengikut tempoh masa yang diberikan atau surat yang dihantar bertarikh 21/11/2011 oleh Ahli Jawatankuasa Displin SPDP kepada G5. Adalah tidak logik sama sekali tindakan terus diambil secara mengejut terhadap G5 dalam masa sesingkat 4 hari sahaja," katanya.


Soalnya lagi, adakah pemecatan dan pelucutan jawatan terhadap G5 itu sah dan boleh diguna pakai.


"Justeru kami mohon pihak berkenaan membuat kenyataan dengan menerangkan perkara sebenarnya demi untuk kebaikan bersama dan khasnya untuk perpaduan di dalam BN," katanya.