Selasa, 16 Julai 2019

Dari facebook Dr. Maszlee Malik



Malaysia cipta sejarah baharu



16 Julai 2019 ~ Hari ini menjadi detik terpenting dalam demokrasi dan sistem pilihan raya di Malaysia.  Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang melihatkan umur kelayakan mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

Usaha ini membuktikan bagaimana kerajaan mengiktiraf peranan yang mampu dimainkan oleh generasi muda. Ini merupakan langkah besar kerana memberikan kuasa mengundi ini akan membuka ruang luas buat mereka menentukan masa depan negara.

Meraikan demokrasi dengan undi anak muda adalah sesuatu yang sangat signifikan memandangkan setiap dasar dan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan secara umumnya adalah untuk manfaat generasi ini.

 Ini adalah masanya untuk anak-anak muda kita belajar tentang erti kebebasan dan tanggungjawab, demokrasi dan sistem pemilihan. Kita wajar meyakini dan mempercayai bahawa dunia yang kita diami ini akhirnya akan dipimpin oleh anak-anak muda.

Sehubungan itu, Undi 18 adalah langkah awal memberikan pengukuhan kepada kematangan berfikir dan membuat keputusan kepada anak-anak muda.

Ia memberikan mereka lebih peluang mengambil tahu tentang hal-hal semasa dan seterusnya mendidik mereka menjadi warganegara yang lebih baik, berkualiti dan memiliki tanggungjawab terpenting buat negara.












SELAMAT DATANG... Ahli Parlimen Miri Dr. Michael Teo Yu Keng rakam kenangan bersama ahli baharu PKR Cawangan Miri.

PKR Miri adakan makan malam bersama ahli baru


16 Julai 2019 [Adum Liu] ~ Ahli Parlimen P.219 Miri Dr. Michel Teo Yu Keng raikan Majlis Makan Malam di sebuah gerai terkemuka di sini khas untuk ahli baru yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Miri malam semalam.

Dr. Michael Teo berkata, Majlis Makan Malam ini juga sebagai penghargaan kepada petugas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas yang membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan sekali gus berjaya menubuhkan kerajaan baharu.

Selain itu, majlis ini juga sebagai menyuarakan hasrat mahu mempercepatkan Pengerusi PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Kelapan selepas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berehat kelak.


 Pada majlis ini, bahawa lebih 200 ahli baharu telah berdaftar keahlian PKR Cawangan Miri dan menyertai serta memeriahkan suasana majlis ini. Hadir bersama ialah bekas calon PKR Sibuti pada PRU lepas, para pengerusi ranting PKR Miri dan Sibuti.