Khamis, 15 Mac 2012

BINCANG… Rosey Yunus ketika sesi perbincangan bersama penduduk kawasan Sibuti. 

ROSEY : RAPATLAH DENGAN KERAJAAN

KETUA masyarakat luar bandar digalakkan untuk mendekati setiap agensi dan pemimpin kerajaan bagi memperolehi maklumat yang betul lagi menguntungkan kepada rakyat, kata Menteri Muda Pendidikan Awal kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus.

Rosey Yunus yang ditemui di Pejabat Daerah Sibuti berkata,  pendekatan antara ketua masyarakat bersama agensi kerajaan sangat penting kerana melalui perjumpaan sesama itu akan mendapati maklumat yang betul.

“Oleh itu, setiap permasalahan di kawasan masing-masing bawalah ke penyelesaian bersama pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan supaya ia diselesaikan dengan lebih lancar.

“Tidak perlulah membawa permasalah kawasan kepada pihak pembangkang kerana yang akhirnya nanti pihak kerajaan juga yang menjalankan penyelesaian masalah rakyat,” jelasnya.

Rosey yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.61 Bekenu turut menasihati kepada mana-mana pertubuhan dari rumah panjang, kampung dan pekan yang belum menerima peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) harus bersabar kerana ia dalam proses.

Setiap permohonan daripada masyarakat adalah dalam perhatian yang peka oleh pihak kerajaan, justeru itu masyarakat adalah sangat dinasihati agar terus memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan, tambahnya.

Hadir bersama ialah Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sibuti Ali Abdullah, Kaunselor Sulaiman Ahmad, kapitan Jong Kuil Lam dan ketua-ketua masyarakat kawasan Sibuti.