Jumaat, 19 Julai 2019






MAHU KEADAILAN… Peserta FELCRA Sungai Entulang Bakong Kawasan Miri mengadakan himpunan aman tuntut keadilan terhadap janji yang pernah dikeluarkan melalui satu memo oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Nazrul Izam Mansor untuk mengagihkan akhir lebihan keuntungan bagi tahun 2019.

Peserta tuntut keadilan



19 Julai 2019 [Adum Liu] ~ Seramai 155 peserta FELCRA Sungai Entulang Kawasan Miri tuntut keadilan terhadap janji yang pernah dikeluarkan melalui satu memo oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Nazrul Izam Mansor untuk mengagihkan akhir lebihan keuntungan bagi tahun 2019.

Tr. Berauh Barau, 62 tahun berasal dari Sungai Entulang Bakong ketika ditemui Utusan Sarawak semalam berkata, kehadiran penduduk (peserta FELCRA) beramai-ramai ke Pejabat FELCRA Berhad Kawasan Miri yang terletak di pekan Bekenu sebagai menuntut keadilan daripada FELCRA di sini.

Katanya, pada memo lepas bahawa FELCRA telah menyatakan keuntungan projek tahun 2018 berjumlah RM18,042,232 dan janji untuk diagihkan kepasa 37,866 peserta FELCRA secara berperingkat bermula dari tarikh memo tersebut.

Sementara itu, di memo lepas menyatakan bagi tahun 2018, jumlah keseluruhan keuntungan yang boleh diagih adalah sebanyak RM111,505,255 merangkumi RM36,162,310 yang dibayar semasa interim pertama, RM24,323,476 (interim kedua) dan RM18.042,232 (interim akhir), ujar beliau.


“Sehingga memo itu dikeluarkan bahawa peserta FELCRA belum menerima apa-apa agihan seperti dijanjikan.

“Interim terakhir yang telah diterima adalah pada 6 Disember 2017 iaitu bernilai RM139.90 sehektar”, jelasnya.


Tambahnya, para peserta di rumah panjang telah berbincang perkara tersebut, sekiranya tiada tindakan daripada pihak Pengurus Ladang berkaitan perkara tersebut bahawa peserta mohon untuk menyerahkan kembali dokumen yang telah ditangani pada tahun 2008.

“Sehubungan itu, bermula dari tarikh memo diserahkan hari ini (semalam, 19 Julai 2019), tempoh maklumbalas berhubung perkara ini adalah 30 hari diberikan, sekiranya tiada keputusan yang adil maka tindakan susulan akan diambil.


"Saya amat berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan mampu memuaskan hati semua pihak justeru mengekalkan hubungan baik di antara pihak FELCRA dan para peserta”, katanya lagi.


Justine Manai, 56 tahun (peserta FELCRA) turut bersuara dan berharap pihak FELCRA Berhad untuk menunaikan seperti mana yang telah pihaknya janjikan untuk pengagihan keuntungan.

Kami tidak mahu pihak FELCRA Berhad hanya tahu berjanji sahaja, sekiranya tiada keputusan yang adil maka tindakan susulan akan diambil, tambahnya.


Suasana himpunan itu berjalan dengan aman dan Tr. Berauh Barau bersama Justine Manai berjaya berjumpa dengan pengurus FELCRA Berhad Kawasan Miri untuk menyerahkan surat tuntutan keadilan di Pejabat FELCRA Berhad Kawasan Miri di sini.