Rabu, 31 Oktober 2012




KERJASAMA… Rosey Yunus menyerahkan buku sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang menyertai Seminar Kesihatan Reproduktif Remaja di Kompleks Majlis Agama Islam Sarawak.

257 ribu sijil kelahiran tanpa nama bapa

KUCHING (31/10/2012) - Perangkaan Jabatan Pedaftaran Negara bagi tahun 2000 sehingga Julai 2008 mencatatkan lebih 257 ribu sijil kelahiran didaftar tanpa catatan nama bapa, kata Menteri Mudah Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus.

Ini bermakna secara purata 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau jampir 84 kes setiap hari, ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Kesihatan Reproduktif Remaja anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di Kompleks Majlis Agama Islam Sarawak petang tadi.

“Masalah kehamilan dan penguguran dalam kalangan remaja juga semakin meningkat di negara kita, laporan Jabatan Perangkaan Negara Malaysia menunjukkan kelahiran dalam kalangan remaja berumur 15-19 tahun bertambah dari 15,849 (2004) kepada 17,600 (2008).

“Penganjuran seminar ini tepat pada masanya kerana kita sering mendengar berita dari surat khabar tentang masalah kesihatan seksual yang melibatkan remaja seperti kes buang janin (bayi) yang baru lahir, mengandung luar nikah, rogol dan meningkatnya bilangsan kes penyakit kelamin dalam kalangan remaja,” katanya.

Tambahnya, data yang dikumpulkan dari Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia seluruh negara menunjukkan jumlah remaja hamil berusia 10 hingga 19 tahun dari Julai hingga Disember 2010 adalah sebanyak 5,962 orang.

Daripada jumlah tersebut, seramai 4,441 (75%) remaja telah berkahwin manaka 1,5121 (25%) adalah belum berkahwin.

Dalam masa yang sama, kita menghadapi dilemma sosial yang melibatkan peningkatan kes pembuangan bayi, purata sebanyak 100 orang bayi dibuang di Malaysia setiap tahun dan kebanyakannya telah meninggal dunia apabila ditemui.

Dan, sumber statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan di antara tahun 2004 hingga 2009 sebanyak 496 kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku di Malaysia, tambahnya lagi.

Selain itu, kita juga berhadapan dengan masalah seks bebas dalam kalangan remaja, laporan kajian kesihatan seksual dan reproduktif remaja Malaysia tahun 2003, mendapati dua peratus daripada 30 ribu pelajar sekolah menengah pernah melakukan hubungan seks, dengan 9.4 peratus daripadanya melakukan perbuatan itu dengan pelacur.