Siapa calon DUN Pelagus?
Sumbangan Daripada:
http://www.ibankapit.blogspot.com
PILIHAN Raya sudah semakin hampir. Ramai yang meramalkan, ia akan diadakan selepas Tahun Baru Cina, tahun depan. Namun yang tahu jawapannya hanyalah Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri.
Bagi penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, ketika kawasan lain sibuk merencana apakah rancangan pembangunan untuk masa depan, di Pelagus, penduduknya masih tertanya-tanya siapakah akan diangkat sebagai calon di kawasan terbabit.
Bagi Larry, beliau pernah menyuarakan, jika beliau di beri peluang untuk menjadi calon di Meradong. Adalah lebih baik beliau mengundur diri dari arena politik kerana merasakan peluang untuk beliau menang di Meradong adalah agak tipis.
Mengimbau kembali apa yang pernah disuarakan oleh Ketua Menteri pula, beliau berkata, Negeri ini begitu memerlukan seorang wakil rakyat dari kaum Cina seperti Larry yang masih muda dan agersif. Alasannya, kerana pada masa ini tidak ramai wakil rakyat yang muda seperti Larry pada masa ini.
Tetapi pada masa yang sama, pandangan serta senario politik dalam PRS juga tidak patut dilupakan dan perlu diambil kira. Presiden PRS, Dr. Masing dengan jelas memberitahu, kawasan DUN Pelagus adalah satu daripada Sembilan kerusi yang diperuntukkan kepada PRS. Oleh itu tegasnya, calon yang dipilih hendaklah kalangan ahli PRS.
Malah pernah Dr. Masing menyuarakan, selagi beliau menjadi Presiden, beliau akan memastikan calon yang dipilih menjadi calon di DUN Pelagus adalah kalangan ahli PRS.
Yang pasti rakyat terus tertanya-tanya. Lebih teruk lagi rakyat yang menjadi mangsa kepada 'permainan' politik seperti itu. Rakyat pada keseluruhannya sering menjadi mangsa. Mana tidaknya, kalau asyik memikirkan atau bergolak soal parti, bila hendak memikirkan soal pembangunan.
Baru-baru ini, ADUN Engkelili, Jornical Rayong telah mengumumkan diri menjadi ahli SUPP. Ia membayangkan kepada rakyat bahawa segalanya ada kemungkinan.
Apa yang pasti, jawapannya tunggu sahaja bila sudah dekat hendak pilihan raya. Atau lebih tepat lagi tunggu sahaja senarai nama calon yang akan diumumkan oleh Ketua Menteri kelak.
Sementara itu, penduduk di Pelagus 'makan sahaja panadol' dan jangan tersilap langkah dalam berpolitik. Kerana sebagai rakyat biasa kita senang sekali untuk dipersalahkan dan ditekan.