Ahad, 22 Mei 2011

SIMBOLIK... Lee di perasmian pelancaran Promosi Kraf Malaysia 2011.

Guna 'online' luas perniagaan

PENGUSAHA digalak memanfaatkan penggunaan Internet sebagai salah satu cara untuk memperluaskan perniagaan mereka. Menerusi Internet, pengusaha boleh menjual barangan mereka secara ‘online’ dan ini dilihat sebagai cara efektif yang digunakan secara meluas di seluruh negara.

Menteri Muda Komunikasi dan Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata pada majlis perasmian pelancaran Promosi Kraf Malaysia 2011 yang berlangsung di Pusat Kraftangan Miri baru-baru ini, ini adalah cara terkini bagi pengusaha mempelbagaikan pemasaran sesuatu perniagaan.

Perusahaan secara ‘online’ juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan keunikan di negeri ini kepada pembeli bahawa Miri yang kaya dan terkenal dengan hasil kraf tangan tempatan yang begitu unik.

Katanya, pengusaha kraf tangan perlu mempergiatkan promosi kraf tangan tempatan kepada masyarakat luar terutamanya pelancong asing, sekali gus membuktikan bahawa kualiti kraf tangan tempatan adalah setanding dengan negara luar.

Pengusaha seharusnya mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan mutu dan kualiti perniagaan agar boleh memberi kepercayaan kepada masyarakat luar khususnya pelancong.

Usaha pemantapan ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, saya percaya industri kraf boleh terus diperkukuhkan dan diyakini serta dapat menyumbangkan kepada pendapatan negara,” tambahnya.

Program anjuran Perbandanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri (MBM). Program berkenaan memperomosikan pelbagai kraf tangan tempatan yang bukan sahaja disertai oleh pengusaha kraf tempatan malah turut disertai pengusaha dari negeri lain seperti Melaka, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Sabah.

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Pengerusi Majlis Pelancaran Promosi Kraftangan Malaysia 2011 Kaunselor Kijan Toynbee dan wakil Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak Salmi Mohd Isa.