Isnin, 20 Julai 2009

Majlis Perasmian...Dr. Chan yang sedang menyampaikan ucapan, kelihatan di situ ialah Presiden Kehormat PPK Subis Aidan Wing (duduk Kanan) dan Pengerusi AJP PPK Subis Boniface Bada (duduk kiri).

Dr Chan : Pelbagai insentif dan bentuk bantuan
kepada petani melalui Kerajaan Persekutuan

UTUSAN SUBIS (20 Julai 2009) Pelbagai insentif dan bentuk bantuan telah disalurkan kepada petani kecil bagi memastikan mereka berusaha lebih giat dan progresif dalam meningkatkan keluaran produk tani melalui Kerajaan Persekutuan.

Demikian kata, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan pada sidang media sempena perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Subis Ke-26 pada 18 Julai baru-baru ini.

Dr Chan berkata, petani juga harus memahami konsep pertanian moden seperti sistem saliran dan kawalan air untuk tanaman supaya hasilnya lebih berkualiti.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Perindustrian menjelaskan petani terutamanya dalam persatuan atau pertubuhan harus bekerja sebagai satu pasukan bagi mencari alternatif meningkatkan produk tani mereka.

Petani kecil tidak seharusnya menyembunyikan masalah berkaitan pertanian mereka sebaliknya mencari pihak yang berkaitan untuk membantu meningkatkan hasil produk tani.

Selamat hari jadi ke-25 PPK Subis.... Dr. Chan meniup lilin kek sebagai tanda menghargai kejayaan PPK Subis, hadir sama Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Subis Tuai Rumah Boniface Bada Enjah, Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Parlimen P.218 Sibuti Ahmad Lai Bujang, Presiden Kehormat PPK Subis Aidan Wing, Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut Andy Chia dan Pengurus Besar PPK Subis Yeong Kui Po.

PPK Subis yang mempunyai 5,686 ahli dengan saham berjumlah RM511,000 telah mencatatkan isipadu perniagaan berjumlah RM28.05 juta dan RM30.08 juta untuk kumpulan dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM408,000.

Dr Chan menjelaskan, jumlah besar isipadu perniagaan dikumpulkan sejak 10 tahun di bawah pengurusan sedia ada sejak tahun 1998 sehingga 2008 telah mencecah RM87.6 juta dengan keuntungan terkumpul melebihi RM1.7 juta.

Sejumlah 20 peratus daripada 5,686 ahli PPK Subis telah menjadi usahawan berjaya apabila ada di antara mereka menceburi pelbagai bidang pertanian seperti minyak sawit, buah-buahan atau sayuran dengan pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 sebulan.

BETIK TUAIAN PERTAMA.... PKK Subis telah menanam 22,000 batang pokok betik spesies betik sekaki dan betik eksotika di atas tanah seluas 40 ekar dan mensasarkan akan menanam 36,000 batang pokok di tanah seluas 60 ekar menjelang Ogos ini.

Pada majlis yang sama Dr Chan turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Subis New Vision Sdn Bdn dan Full Target Sdn Bhd bagi pemasaran buah betik.(Gambar atas)