Rabu, 27 April 2011

UTAMAKAN PERHUBUNGAN... Ripin Lamat ketika berucap di Malam Majlis Penghargaan Jentera Pillihan Raya N.62 Lambir di kediamannya baru-baru ini.

Perhubungan erat mula dengan perjumpaan

UTUSAN SIBUTI - Perhubungan erat dan kerjasama yang baik antara pemimpin bersama rakyat bermula dengan perjumpaan dan bersalaman yang berterusan sehingga membawa permahaman keperluan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata demikian di Malam Majlis Penghargaan Jentera Pillihan Raya N.62 Lambir di kediamannya baru-baru ini.

Katanya, untuk merapatkan lagi hubungan kerjasama beliau sebagai wakil rakyat baru di kawasan Lambir, sesi perkenalan dengan rakyat di kawasannya dimulakan dengan siri jelajah kawasan sebagai mengulangi kesinambungan lawatannya semasa kempen pilihan raya negeri yang lepas.

Melalui pendekatan ini, ia adalah lebih berkesan untuk dikenali dan memahami keperluan penduduk di kawasan ini sekali gus merancang pelan pembangunan yang berterusan untuk Lambir di dalam perancangan sepanjang 100 hari pertama menjadi wakil rakyat, jelasnya.


Tambahnya, beliau mula turun padang sejak minggu pertama selepas pilihan raya lalu dengan mengunjungi beberapa kawasan rumah panjang di kawasan Ulu Sibuti dan seterusnya ke Bukit Peninjau, Bekenu serta Lambir.

Tugas utama adalah membuat lawatan dengan mengunjungi kawasan yang jauh seperti Ulu Sibuti sebelum pergi ke kawasan yang berdekatan di sini, jelasnya dengan menyeru kepada rakyat di kawasan Lambir agar terus memberikan sokongan dan kerjasama kepadanya demi pembangunan di Lambir.

Turut hadir sama ialah ADUN Bekenu, Rosey Yunus dan suami, Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lambir, Julani Moktar merangkap pengerusi penganjur majlis, mantan ADUN Subis, Yusof Sani Wahap serta Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Mohd Chee Kadir. Lebih 500 tetamu hadir pada majlis tersebut yang turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh dua artis jemputan iaitu Ricky Andrewson dan Swaylin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan