Ahad, 21 Jun 2009

AIR BERSIH...Datuk Douglas Uggah Embas (2 kanan), Haji Ahmad Lai (2 kiri) dan Rosey Yunus (kiri sekali) merasai air bersih selepas tapisan yang selamat dipergunakan sekarang.

Oleh : Adum Liu
21 Jun 2009

Konsep 1 Malaysia - masyarakat luar bandar
tidak dipenggirkan dari arus pembangunan

UTUSAN SUBIS (KUALA SIBUTI 21/6/2009) – Konsep 1 Malaysia yang diterapkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menunjukkan bahawa masyarakat di luar bandar tidak dipinggir dari arus perdana pembangunan negara.

Ahli Parlimen P.218 Sibuti, Haji Ahmad Lai Bujang berkata kerajaan walaupun Negara sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi masa sekarang namun masih prihatin terhadap keadaan penduduk kawasan luar bandar.

“Di Kuala Sibuti, kita sudah lihat beberapa prasarana yang telah dan sedang dibangunkan oleh Kementerian Pelajaran, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta telekomunikasi yang dapat berfungsi.

Saya sebagai wakil rakyat akan mengusahakan supaya konsep 1 Malaysia dalam membangunkan kawasan saya terhadap kampung-kampung dan rumah-rumah panjang yang masih belum mendapat prasarana seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya”, katanya.

Sehubungan itu, rakyat harus sentiasa bekerjasama rapat dengan pemimpin, baik di peringkat Kerajaan Pusat mahu pun Kerajaan Negeri demi pembangunan dan masa depan kita bersama, tambahnya.

“Hari ini, saya merasa bangga kerana Kampung Kuala Sibuti telah dipilih sebagai projek perintis model pembangunan lengkap Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) untuk kawasan luar bandar.

Dengan pembangunan dan pelaksanaan ini, maka penduduk di sini telah mendapat bekalan air bersih seperti mana yang dinikmati oleh penduduk bandar”, jelasnya.

Ahmad Lai yang turut hadir bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Datuk Douglas Uggah Embas juga berharapkan bahawa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia serta Sarawak akan terus mengkaji dan melaksanakan projek seperti ini ke kawasan lain juga.