Ahad, 21 Jun 2009

TANGKI SIMPANAN AIR...sebanyak 12 tangki disediakan untuk simpanan air yang dipam dari bawah tanah.

PEMPROSESAN...Air dari tangki simpanan akan dipam masuk ke tiga bahagian penapisan kulom yang berbeza sebelum sampai ke rumah-rumah di Kampung Kuala Sibuti.

Oleh : Adum Liu
20 Jun 2009

SPATR bekal air bersih kawasan luar bandar

UTUSAN SUBIS (KUALA SIBUTI 20/6/2009) – SISTEM Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) merupakan sistem yang dibangunkan bagi merawat dan membekalkan sumber air alternatif di kawasan yang mengalami kekurangan air, terutamanya kepada sekolah, kampung serta rumah-rumah panjang di kawasan pesisiran pantai dan pendalaman Negeri Sarawak.

SPATR ini adalah hasil inovasi oleh Jabatan Mineral Geosains (JMG) Sarawak supaya air yang dibekalkan adalah bersih, jernih dan tidak berbau serta dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Sumber air bagi sistem ini adalah dari telaga tiub yang digerudi di kawasan berdekatan.

SPATR mula diperkenalkan pada tahun 1999, sistem yang dibina pada ketika itu hanya mempunyai sistem penapisan primer. Walaupun berjaya mengurangkan kandungan beberapa elemen di dalam air, namun sistem penapisan primer berkenaan masih gagal memenuhi keperluan kualiti air World Health Organisation (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, sistem aliran air pula tidak efisien. Air yang dibekalkan masih keruh dan tidak hygienic untuk diminum.

Pada tahun 2006, aktiviti Hidrogeologi JMG Sarawak telah melakukan beberapa ujian dan menghasilkan inovasi SPATR yang merangkumi sistem penapisan primer dan sekunder, Gabungan kedua-dua sistem ini SPATR berkenaan telah dapat meningkatkan kualiti air yang memenuhi piawai WHO dan KKM untuk kegunaan penduduk.

Bagi kawasan Kampung Kuala Sibuti, pembinaan sistem penapisan peringkat awal telah dilaksanakan pada tahun 2000. Pada tahun 2007 projek menaik taraf sistem penapisan telah dijalankan dengan meningkat keupayaan sistem primer dan memasang sistem sekunder yang terdiri daripada penapis kolum pasir, penapis kolum karbon teraktif, penapis kolum zeolit dan penapis ultra membrane.

Satu pelantar aras tinggi telah dibina untuk menampung tangki air bersih bagi menyalurkan air kepada penduduk kampung, di mana selanjutnya sistem perpaipan utama diperbaiki dan perpaipan ke ruma-rumah di pasang untuk dibekalkan air bersih kepada penduduk Kampung Kuala Sibuti.