Ahad, 7 November 2010

Beri Peluang Anak Penan Jadi Pendidik

UTUSAN SIBUTI (KUCHING) - Kerajaan disarankan untuk memberi kelonggoran dan peluang kepada anak-anak kaum Penan daripada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjadi warga pendidik, kata Adun Dewan Undangan Negeri, N. 57 Belaga, Liwan Langang.


Menurutnya, mempertimbangkan permohonan daripada generasi muda kaum itu untuk menyertai program latihan perguruan hendaklah diberikan kerana mereka dapat membantu membangunkan kaum mereka sendiri.

“Bidang pendidikan merupakan salah satu daripada proses pembangunan yang dapat membawa kemajuan kepada seseorang itu dan melihat kepada aspek itu, keutamanan haruslah diberikan kepada kaum Penan bagi membolehkan mereka memajukan diri,” katanya.

Beliau juga menambah, pengambilan guru itu juga secara langsung dapat mengurangkan masalah kekurangan guru di kawsan pendalaman negeri ini.

Liwan berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (2011) dan usul resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2011 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang ke-16 di sini hari ini.

Selain itu katanya, sumber bekalan air bersih di kawasan Belaga masih lagi ditahap yang kurang memuaskan terutamanya di kawasan Long Urun.

“Kawasan ini menempatkan tujuh buah perkampungan Penan dan lima buah perkampungan kaum Kenyah yang dikeliling oleh ladang kelapa sawit yang mana air sungai disekitar tempat itu sudah tidak sesuai untuk untuk kegunaan aktiviti harian ekoran daripada penggunan baja dan racaun kimia oleh pihak perladangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak bertanggungjawab dapat meluluskan permohonan air bersih kepada perkampungan antaranya, di Long Busang, Long Banga, Long Koyan, Long Kajang, Long Abit, Long Tanyit, Long Lidem, Long Unai dan Long Bala, Uma Seping dan Uma Sihan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan