Rabu, 20 April 2011

Kabinet Sarawak: SUPP Serah Kepada Ketua Menteri

UTUSAN SIBUTI - Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Lee Kim Shin menyerahkan kepada Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud mengenai pelantikan wakil parti itu dalam kabinet negeri.


Datuk Lee Kim Shin merupakan seorang daripada dua calon Cina SUPP yang memenangi kerusi masing-masing pada pilihan raya negeri Sabtu lepas, berkata beliau juga tidak mahu mengulas lanjut kerana kuasa melantik di tangan ketua menteri. Beliau yang ditemui pemberita di sini hari ini diminta mengulas mengenai gesaan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek agar SUPP tidak menerima pelantikan ke kabinet bagi mewakili masyarakat Cina Sarawak kerana parti itu telah kehilangan sokongan mereka.

Lee sebelum ini memegang jawatan menteri muda bagi dua portfolio iaitu Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan serta Belia dan Sukan. Pada pilihan raya negeri yang baru berakhir, Lee mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Senadin yang diwakilinya sejak 1996 dengan majoriti tipis 58 undi, apabila memperolehi 7,344 undi mengatasi calon Parti Keadilan Rakyat Dr Michael Teo Yu Keng yang menerima 7,276.

Mengulas kemenangan tipisnya, Lee berkata tindakan pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang mengamalkan budaya politik ganas semasa berkempen antara faktor jumlah undi yang diterima beliau merosot. Bagaimanapun, Lee berkata keputusan itu tidak menghalang beliau untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada seluruh masyarakat di kawasannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan