Isnin, 23 Mei 2011

7 suspek ditangkap setelah diintip

INTIPAN sepasukan polis dari cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Kuching selama seminggu di dua buah premis menjalankan kegiatan judi haram di sini membuahkan hasil dengan tertangkapnya tujuh suspek, lewat petang Sabtu.

Tiga pekerja wanita premis tersebut dan seorang pemilik kedai merupakan antara yang dicekup kelmarin. Suspek yang dicekup berumur di antara 32 hingga 47 tahun.

Dalam dua serbuan yang dilakukan berasingan kelmarin, sebanyak lima buah mesin pencetak kertas judi haram turut dirampas, selain wang tunai bernilai lebih RM10,000.

Seramai lapan anggota polis dari Cawangan D7 menyerbu dua premis dipercayai menjalankan kegiatan judi haram masing-masing di Sepupok dan Batu Niah.

Serbuan di Batu Niah dan Sepupok, masing-masing diketuai ASP Mohd Zulkarnain dan Inspektor Zuriawati.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksen 4a(a)Akta Rumah Perjudian Terbuka. Serbuan yang bermula pada jam 5.30 petang semalam merupakan kejayaan kedua pasukan D7 Cawangan Kuching dalam usaha membasmi kegiatan judi secara haram di daerah ini.
Serbuan serupa telah dilakukan pada bulan Mac tahun ini membabitkan nilai rampasan sebanyak RM30,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan