Isnin, 23 Mei 2011

TAK WUJUD TELINGKAH AGAMA

UTUSAN SIBUTI - Masalah pertelingkahan agama tidak wujud di Sarawak kerana rakyat berbilang kaum sentiasa mengutamakan perpaduan, toleransi dan keharmonian tanpa mengira agama dan latarbelakang budaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat berkata, walaupun rakyat di sini berbilang kaum, namun ia tidak pernah menjadi penghalang untuk mereka bekerjasama dalam membangunkan negeri ini.

“Tidak kira sama ada Bidayuh, Iban, Cina, Melayu atau Melanau, semuanya mempunyai satu aspirasi yang sama iaitu mahu perpaduan dan keharmonian. Elemen inilah yang menjadi teras rakyat di sini dari dulu hingga kini,” katanya berucap pada majlis Silama Andu Gawai Dayak 2011 di Kampung Bidayuh, Lusut, Taman Tunku, Miri baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang, timbalan pengerusi PBB Lambir Julani Mokhtar dan ketua kaum Bidayuh Kampung Lusut, Jimmy Nyahen.

Dalam pada itu, Ripin mengingatkan rakyat agar terus memelihara kestabilan politik yang ada sekarang untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di negeri ini.

“Kita harus menolak sentimen negatif yang boleh mengganggu dan menggugat perpaduan dan kestabilan di negeri ini. Kita tidak harus memberi peluang kepada sikap perkauman memecah-belahkan keamanan yang kita nikmati sejak dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Ripin yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri mahu komuniti Bidayuh sama ada di peringkat ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus bekerjasama bagi memastikan mereka tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.

Pada majlis yang sama, Ripin turut mengumumkan geran berjumlah RM2,000 untuk JKKK Kampung Bidayuh melaksanakan aktiviti tahunan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan