Jumaat, 20 Mei 2011

Tragedi hitam.... Kebakaran di Pujut Corner lebih yang berlaku jam 10.30 pagi memusnahkan sebanyak 17 buah rumah kayu di situ baru-baru ini.

17 setinggan Pujut Corner terbakar

UTUSAN SIBUTI - Tragedi hitam yang berlaku di Pujut Corner lebih 13 tahun lalu yang menimpa sebahagian keluarga di kawasan setinggan berkenaan berulang kembali, apabila satu kebakaran yang berlaku jam 10.30 pagi memusnahkan sebanyak 17 buah rumah kayu di situ baru-baru ini.

Kejadian itu turut menyebabkan 67 penghuninya tinggal sehelai sepinggang kerana sebahagian besar daripada mangsa turun bekerja dan tidak berada di rumah masing-masing ketika kebakaran berlaku.
Sumber, ketika sampai di tempat ke-jadian katanya, api yang marak telah marak kuat dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan harta benda.

Kejadian yang berlaku pada April 1998 itu telah menjadi satu sejarah hitam di negeri ini kerana ia merupakan salah satu kes kebakaran terbesar dan paling dahsyat yang membabitkan puluhan buah rumah setinggan di Pujut Corner.

Dalam pada itu, menurut sumber, kejadian kebakaran pagi baru-baru ini dipercayai bermula dari sebuah rumah yang dihuni beberapa warga asing dari Indonesia sebelum merebak ke beberapa rumah bersebelahan yang dibina berdekatan antara satu sama lain.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba dari Balai Bomba Lopeng, Mohd Ayob Hassan ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu pihaknya ada menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kebakaran itu sekitar jam 10.40 pagi.

Berikutan itu, tiga jentera bomba bersama 31 anggota yang diketuai beliau sendiri telah berkejar ke tempat kejadian.

Menurut Ayob, cuaca panas terik dan ditambah kedudukan rumah yang dibina saling berdekatan antara satu sama lain merupakan antara faktor utama yang menyebabkan api marak dengan cepat dan memusnahkan kesemua rumah terbabit dalam sekelip mata.

Memandangkan bilangan rumah yang musnah dalam kebakaran ini melebihi 10 buah, maka siasatan lanjut berhubung kes ini akan diserahkan kepada pihak ibu pejabat untuk mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami kesemua mangsa, katanya sambil menambah api berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 2.30 petang semalam.

Dalam pada itu menurut beliau, seramai empat orang mangsa, kesemuanya lelaki telah mengalami kecederaan akibat terpijak kaca dan terkena atap zink dalam kejadian itu dipercayai ketika cuba menyelamatkan harta-benda masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan