Rabu, 11 Ogos 2010

RASMI… Dato Seri Shafie Apdal (dua kanan) Ahmad Lai Bujang (kanan) dan Rosey Yunus (kiri) ketika majlis perasmian BALB yang telah sampai pada rumah ke rumah di Kampung Tiris pagi tadi.

RASMI… Dato Seri Shafie merasmikan pembukaan bekalan air bersaih untuk disalurkan ke enam kampung dan sebuah rumah panjang di kawasam Tiris pada pagi tadi. Turut kelihatan ialah Rosey Yunus (dua kiri), Ahmad Lai Bujang (tiga kiri) dan Ripin Lamat (kanan).


Dato Sri Shafie Apdal :

KERAJAAN TIDAK HENTI BANTU RAKYAT


UTUSAN SIBUTI - Kesungguhan kerajaan membantu rakyat tidak pernah terhenti dan pelbagai pendekatan serta melakukan penambahbaikan untuk memastikan tidak ada pihak yang ketinggalan daripada arus pembangunan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau telah melakukan transformasi dan penambahbaikan.

“Penambahbaikan diambil bukan bermakna dasar pembangunan yang terdahulu tidak baik, cuma mungkin ia tidak menepati semua keperluan rakyat, masa dan juga tempat,” jelas beliau.

Beliau memberitahu demikian ketika berucap pada majlis perasmian Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Masjid, Tiris, Bekenu di sini semalam.

Menyedari hakikat itu katanya, kerajaan telah mengambil pendekatan terbaru dengan menggariskan enam perkara utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang harus diberi perhatian.

Antaranya menurut Mohd Shafie adalah bidang pendidikan kerana hanya dengan pendidikan dan ilmu pengetahuan seseorang itu boleh bangkit untuk membaiki taraf hidupnya sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan.

“Hanya dengan pendidikan dan ilmu pengetahuan, manusia akan dapat mengharungi apa jua cabaran dalam hidup untuk terus berjaya,” katanya.

Menyentuh tentang projek BALB, seramai 2,000 penduduk dari enam kampung kaum Kedayan dan sebuah rumah panjang kaum Iban di kawasan Tiris telah mendapat manfaat daripada projek itu yang diumumkan menteri terbabit semasa lawatan pertamanya ke kawasan tersebut pada 20 Ogos 2009.

Enam kampung terbabit terdiri daripada Kampung Sebalik, Kampung Masjid, Kampung Kepayang, Kampung Pintasan, Kampung Lubok Buini dan Kampung Tunah serta sebuah rumah panjang iaitu Rumah Enteri Blawan di Sungai Tiris, Bekenu.

Mohd Shafie turut meminta pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti penerima bantuan kewangan di bawah program rakyat termiskin menyenaraikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan tersebut.

Ini kerana katanya sejak kebelakangan ini, kementeriannya berjaya mengesan terdapat individu yang menerima bantuan kewangan menerusi program tersebut yang disalurkan kerajaan di luar bandar negara ini mampu bergaya mewah dengan memakai rantai emas.

Tambahnya, jika penerima bantuan itu mampu membeli dan bergaya dengan rantai emas, secara logiknya dia tidak sepatutnya layak menerima bantuan kerajaan kerana lebih ramai lagi mereka yang lebih miskin dan memerlukan bantuan.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk membina padang bola sepak di kampung tersebut dan meluluskan pembinaan masing-masing 10 rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Rancah-Rancah dan Tiris.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, ADUN Lambir Datuk Aidan Wing dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Ripin Lamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan